|
MEMPERBAIKI IMEJ BARISAN NASIONAL
(Terjemahan Dari Tajuk: Reinventing The National Front Oleh MGG Pillai)
Gerakan Rakyat
Malaysia (GRM) sedang memikirkan cara yang terbaik untuk memperbaiki imejnya.
Presiden parti Dato' Seri Lim Kheng Yaik sudah merasakan bahaya ugutan ahli yang
lebih berpelajaran dan lebih prihatin kepada suasana politik. Mereka sedang
merancang untuk mengenepikan ahli parlimen dan dewan undangan negeri yang difikirkan
sudah tidak relevan lagi. Selama ini pun presiden parti itu memang merasakan
tekanan ini. Kini dia berazam bahawa tekanan selama tiga puluh tahun itu sudah cukup
menyedarkan untuk memperbaiki imej parti.
"Kita perlu bersedia menghadapi
cabaran yang mendatang," demikian pendapatnya. Tetapi sikapnya yang kerap
celupar dan gelojoh itu kerap pula memerangkap diri sendiri. "Kita akan memberi
keutamaan kepada negara, kemudian kepada masyarakat kita sebelum memikirkan
kepentingan parti; setiap kali kita menjalankan tugas." Kerana itu dia mahukan
semua ahli parlimen Gerakan, ahli dewan undangan negeri, ahli majlis-majlis yang
dilantik "memperbaiki imej mereka". Bagaimanakah agaknya ? Mestikah
dilakukan secara Bolehland ? Perwakilan peringkat negeri akan bersidang bulan
depan untuk mengemukakan resolusi di persidangan perwakilan kebangsaan yang
akan diadakan di Penang pada 23 September ini. Aha...! pada hari itu pemulihan
imej itu akan dilaksanakan. Nampak mudah sungguh. Tetapi, kenapakah usaha sedemikian
tidak dilakukan setiap tahun, di setiap persidangan kebangsaan parti? Kenapakah
pemimpin Gerakan kerap berlari laksana ayam togel, terutama sekali setelah
tercetusnya krisis membabitkan perlantikan semula Tan Sri Koh Tsu Koon ke kerusi
ketua menteri? Mampukah Dr. Lim mengaku betapa tingkah laku pemimpin Gerakan
ketika itu adalah untuk kepentingan negara, masyarakat dan parti?
Parti-parti
komponen Barisan Nasional memang memberi penekanan kepada usaha memperbaiki imej
mereka - samalah dengan menuang wain yang segar ke dalam botol wain yang lama-lama.
Cara mereka memperagakan sikap keangkuhan selalunya mencetuskan kemarahan para
pengundi. Para pengundi yang bodoh telah melupakan gelagat para pemimpin Barisan
Nasional yang terlalu sibuk dengan projek para kroni, saudara-mara dan para juak
mereka.
Perdana Menteri telah meluluskan cuti para pengundi balik
kampung untuk mengundi calon-calon yang melawan Barisan Nasional.
Tetapi dia marah akhirnya. Di masa hadapan, cuti demikian tidak akan diberikan lagi
kalau para pengundi masih memangkah parti lawan. Perdana Menteri itu pun sedang
berusaha membaiki imejnya. Begitu juga presiden MCA Dato' Seri Ling Liong Sik, yang
turut gelagat pemimpin lain dalam parti komponen tidak pernah akur dengan
nasihat mereka. Pemimpin MIC, Dato Seri S. Samy Vellu, yang merupakan penggiat
pemulihan imej sepanjang musim kerap melakukannya mengikut pelbagai kaedah yang
mengelirukan. Semua gelagat ini mencetuskan pelbagai tanda tanya yang hanya dapat
memuaskan seandainya mereka mengumumkan persaraan mereka. Gelagat Perdana Menteri
dengan putar alamnya melambangkan kereputan yang sedang berlaku dari dalam parti.
Tidak
siapa yang mahu bersara. Seperti juga Perdana Menteri, mereka mahu memboloti kek
mereka. Beban berkhidmat kepada rakyat dalam suasana melimpah ruah telah membutakan
hati mereka akan keadaan sebenar. Mereka fikir mereka patut terus berkhidmat untuk
satu dekad lagi. Para pemimpin Barisan Nasional mahu terus berlagak bahawa keangkuhan
dan sikap mementingkan diri itu adalah satu hak, sedangkan kerakusan yang
diperagakan itu adalah satu penghinaan kepada negara. Inilah hakikatnya yang mahu
diterapkan oleh Mahathir, Ling, Lim, Samy Vellu dan para pemimpin parti komponen
yang mahu rakyat akur. Yang pastinya mereka tidak mahu sesiapa yang rela mengejar
mereka dengan parang dan belantan di sepanjang Lebuh raya Utara-Selatan. Lagi pun perbuatan ini tentu akan menakutkan para pelancung.
Akan tetapi, kalaulah
Barisan Nasional telah menentukan agar setiap kepemimpinan itu bertukar secara
sistematik setiap sepuluh tahun atau kurang daripada itu, ia memberi ruang
kepada negara ini mewujudkan satu sistem di mana pemerintahan oleh institusi lebih
berkuasa daripada pemerintahan individu. Tempoh pemerintahan seorang perdana
menteri selama 19 tahun telah membuatkan Malaysia bertukar menjadi satu dinasti
haprak. Yang lain terus mengikutinya. Kini pemerintahan oligarki yang autocratic
ini sedang dicabar dengan hebat. Bukan sahaja dalam UMNO. Para pemimpin
yang lain yang selama ini taksub dengan naungannya telah terleka dan mengenepikan
isyarat yang dibunyikan. Mereka telah memecat ahli yang menentang dan menidakkan hak
ahli bersuara dalam hal-ehwal parti. Kesahihan populariti yang merosot kini menghantui
mereka. Mereka tidak berani mencabar presiden Barisan Nasional dan
menonjolkan hidungnya untuk menunjukkan kesilapannya. Mereka dilayan seperti cara
dia melayan para pemimpin UMNO jua. Segala kemudahan yang mereka nikmati melaluinya
adalah terlalu berharga dan tidak berbaloi dilepaskan semata-mata untuk
memperjuangkan hak masyarakat mereka sendiri.
Kini, semua itu menjadi
terbongkas secara tidak semena-mena. Satu tindakan mengejut dan menakutkan mungkin
merupakan jalan keluar daripada keperitan ini. Tetapi siapakah yang sanggup menjadi
penghulu dalam aksi ini, sedangkan tidak ada jalan alternatif yang boleh difikirkan
oleh mereka. Samada mereka perbaharui imej mereka itu ataupun tidak, bumi yang
mereka pijak ini akan terus bergegar jua.
Terjemahan bebas oleh -MT- |